Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berita gembira mengenai kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) bagi petugas kesihatan dijangka dapat dimuktamadkan paling lewat Jun ini.

Beliau berkata, perbincangan mengenai isu kenaikan elaun itu di peringkat jawatankuasa ditubuhkan sudah di tahap akhir, dengan pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat secepat mungkin.

“Jawatankuasa dipimpin Tan Sri Abu Bakar Suleiman (bekas Ketua Pengarah Kesihatan) sedang giat berbincang dan ia sudah di peringkat akhir.

“Saya tak berani memberi tarikhnya (pengumuman rasmi) tapi kita akan umumkan dalam waktu terdekat.

“Paling lewat Jun ini, tapi saya sendiri kalau boleh mahu selesaikan Mei sebab tahu mereka (petugas kesihatan) bekerja dengan kuat,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Madani Afiat peringkat negeri Kelantan 2025 di Mydin Mall Tunjong, di sini.

Sebelum ini, Dzulkefly dilapor berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah pun mendapat persetujuan untuk menaikkan Elaun Tugas Atas Panggilan bagi petugas kesihatan, dengan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat nanti.

Tambah Dzulkefly, pengumuman mengenai kenaikan ETAP tidak akan dilengahkan kerana beliau memperjuangkan isu itu sudah lama, tambahan ia turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan.

Justeru, beliau berjanji akan menyelesaikannya secara tuntas kerana berita gembira itu paling ditunggu petugas kesihatan sejak sekian lama.

“Harap akan dapat diselesaikan semuanya secara tuntas, itu janji saya dan saya juga sudah perjuangkan sehingga ke hari ini sejak sekian lama,” katanya.-BH Online