Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkukuh imej Malaysia sebagai negara Islam yang progresif dan sederhana di mata dunia.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Allahyarham juga memperkenalkan pelbagai dasar dan pendekatan yang membawa perubahan besar kepada negara sepanjang menerajui negara sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009.

Beliau berkata, antara sumbangan terpenting Allahyarham ialah pengenalan gagasan Islam Hadhari yang menekankan pembangunan menyeluruh masyarakat Islam, dengan menyeimbangkan kemajuan rohani dan jasmani.

“Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada negara. Allahyarham dikenang sebagai seorang negarawan ulung yang mencurahkan khidmat bakti dengan penuh dedikasi, kesantunan dan prinsip kepimpinan berteraskan nilai murni,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan takziah terhadap pemergian Perdana Menteri kelima itu menerusi akaun Facebook rasminya.

Wan Junaidi berkata, di bawah kepimpinan Allahyarham juga, penekanan terhadap tadbir urus baik, pembangunan insan dan toleransi antara kaum serta agama terus diperkasakan. 

“Sikap beliau yang sederhana, berjiwa rakyat dan berhemah tinggi sentiasa menjadi teladan kepada pemimpin generasi kini dan akan datang,” katanya.

Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang soleh.-BH Online