KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kementerian dan agensi terbabit supaya mengambil kira kolaborasi merentas agensi, perkongsian infrastruktur, sumber, bakat atau sinergi kepakaran sedia ada, dalam membina ekosistem digital yang inklusif serta mampan.
Perdana Menteri berkata, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) memberi tumpuan kepada mempercepatkan beberapa inisiatif.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia meliputi penambahbaikan perkhidmatan Internet di universiti awam, peluasan aplikasi MyGOV Malaysia melalui pengintegrasian Pangkalan Data Utama (PADU), dan penyelarasan gagasan kecerdasan buatan (AI) negara.
“Fokus ini adalah penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan digital serta kecemerlangan akademik, memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan, dan memastikan pembangunan AI yang bertanggungjawab serta beretika,” katanya dalam catatan melalui media sosial rasmi beliau, malam tadi.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat MED4IRN Bilangan 2 Tahun 2025 dan menerima kemajuan pelaporan yang positif terkait usaha memperkukuhkan landskap digital dan AI secara menyeluruh.-BH Online