Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama keselamatan serantau menerusi hubungan erat dan persefahaman antara negara anggota ASEAN dalam usaha memastikan keamanan serta kestabilan rantau ini terus terpelihara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hubungan baik antara negara anggota ASEAN bukan sahaja penting di meja rundingan, tetapi juga melalui persahabatan dan persefahaman.

Beliau berkata perkara itu turut diterjemahkan menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-20 (AMMTC) yang melabuhkan tirainya di Makati City, Filipina.

“Dalam suasana yang lebih santai ini, sempat saya beramah mesra, bertukar pandangan serta bertukar cenderamata dengan rakan-rakan sejawat dari negara anggota ASEAN. Hubungan baik yang terjalin bukan sahaja penting di meja rundingan, tetapi juga melalui persahabatan dan persefahaman antara kita.

“Insya-Allah, semoga hubungan persahabatan dan kerjasama erat antara negara-negara ASEAN terus diperkukuh demi keamanan dan keselamatan rantau ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata Majlis Makan Malam Gala bersempena dengan penutupan AMMTC malam tadi turut membuka ruang kepada beliau untuk beramah mesra, bertukar pandangan serta cenderamata dengan rakan sejawat dari negara anggota ASEAN.

Beliau berkata majlis yang berlangsung dalam suasana mesra dan santai itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang mengetengahkan keunikan serta kekayaan warisan seni Filipina selaku tuan rumah.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino serta seluruh pasukan Kedutaan Besar Malaysia atas bantuan dan kerjasama yang diberikan kepada delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang berada di Manila.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Filipina atas penganjuran mesyuarat berkenaan serta layanan mesra yang diberikan sepanjang persidangan.

Saifuddin Nasution juga menghargai komitmen seluruh pasukan KDN, termasuk petugas di belakang tabir, yang memastikan penyertaan delegasi Malaysia pada AMMTC ke-20 berjalan lancar.– BERNAMA