SEREMBAN: Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan sistem nombor pendaftaran kenderaan ditempah khas mengikut nama pemilik walaupun ia berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata cadangan membenarkan pemilik kenderaan memilih kombinasi huruf dan nombor mengikut kehendak sendiri seperti diamalkan di luar negara pernah dibincangkan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan sistem sedia ada yang menggunakan kombinasi huruf dan nombor seperti diamalkan sejak puluhan tahun lalu.
“Walaupun ia mungkin berpotensi menjana hasil yang tinggi, kami berpendapat sistem sedia ada perlu dikekalkan,” katanya kepada media selepas menyampaikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah, di sini hari ini.
Loke berkata, kementerian akan meneruskan pengeluaran dua hingga tiga siri nombor pendaftaran khas setiap tahun bagi menjana pendapatan bagi membantu rakyat.
Selain itu beliau berkata, lebih 100 kenderaan sudah ditempah menerusi Program Reformasi Teksi Nasional MADANI yang dilaksanakan dengan kerjasama PROTON bagi membantu pemandu teksi menaik taraf kenderaan lama menerusi pemberian diskaun, pengecualian cukai dan kemudahan pembiayaan.-BH Online

