KUALA LUMPUR: Malaysia masih meneruskan misi pencarian 54 rakyat negara ini yang gagal dihubungi ekoran tragedi banjir kilat di Rasuwa, Nepal, 26 Ogos lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, biarpun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah dihentikan oleh kerajaan Nepal, pencarian itu masih dilaksanakan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dengan kerjasama kerajaan tempatan di Nepal dan pos pendakian sepanjang laluan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, menerusi maklumat di pos pendakian, lokasi terakhir kebanyakan rakyat Malaysia hilang dikenal pasti berada di laluan yang terjejas dengan bencana itu.null
“Malaysia masih melakukan misi pencarian biarpun kerajaan Nepal ketika ini, sudah memasuki fasa pemulihan.
“Kita masih menghubungi pos pendakian dan menjejaki laluan rakyat Malaysia. Kita akan teruskan pencarian kumpulan rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi ini sehingga tiada lagi ruang untuk melakukan apa-apa tindakan,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai status terkini rakyat Malaysia masih gagal dihubungi ekoran banjir kilat di daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu.
Mohamad berkata, Malaysia ketika ini, masih menunggu butiran Perintah Eksekutif atau Ordinan Khas Kerajaan Nepal berhubung pengisytiharan kematian bagi mangsa kejadian itu yang masih gagal dihubungi.
Beliau berkata, perintah berkenaan dikeluarkan khusus bagi mangsa insiden terbabit, tanpa mengambil kira kes terdahulu membabitkan laporan individu hilang di Nepal.
Selain itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menghubungi rakan sejawatnya dari Nepal dan China bagi membincangkan perihal Perintah Eksekutif atay Ordinan Khas itu.
“Kita mahu perincian dalam Perintah Eksekutif atau Ordinan Khas Kerajaan Nepal ini dibuat secara menyeluruh, selain akan memberikan input Malaysia selepas meneliti dokumen berkenaan.
“Ini bagi memastikan perintah ini dapat digunakan bagi semua urusan membabitkan waris mangsa, terutama membabitkan perihal perbankan.
“Sijil Kehilangan perlu ada kerana tanpa dokumen ini, semua urusan lanjut akan sulit untuk dilakukan waris mangsa,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Suhaimi.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Mohamad menasihatkan rakyat Malaysia yang mahu melakukan perjalanan ke luar negara untuk berdaftar dengan e-Konsular.
Beliau berkata proses pendaftaran itu bagi membolehkan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan menghubungi individu terbabit jika berlaku kecemasan.
Ketika ini katanya, hanya lebih 6,000 rakyat Malaysia mendaftar menerusi aplikasi itu sepanjang 2025, meskipun jumlah warga tempatan ke luar negara jauh lebih tinggi.
“e-Konsular ini menjadi sebagai pusat data atau maklumat bagi membolehkan Kementerian Luar berurusan dengan rakyat Malaysia, sama ada yang menetap atau mengunjungi negara luar.
“Info diperlukan hanya maklumat perjalanan, destinasi dan nombor telefon. Maklumat ini akan memudahkan kita berurusan dengan mereka dan ia sangat asas, selain tidak akan dikongsikan dengan agensi lain,” katanya.-BH Online
