PUTRAJAYA: Penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan berdepan cabaran besar khususnya dari segi mendapatkan bukti yang mencukupi serta isu kedaulatan negara yang boleh menjejaskan keberkesanan penguatkuasaannya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata cabaran utama ialah mendapatkan maklumat bagi mengenal pasti punca pencemaran dan pihak yang bertanggungjawab terhadap kebakaran yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.
Jelasnya, kementerian telah beberapa kali meneliti kewajaran penggubalan undang-undang tersebut daripada pelbagai sudut termasuk kebolehlaksanaan.
“Perkara ini termasuk keperluan mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan koordinat kawasan kebakaran, pemilikan tanah, pihak yang menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan serta bukti yang menghubungkan sesuatu kejadian kebakaran dengan pencemaran jerebu yang dialami di Malaysia.
“Secara lazimnya, ini semua maklumat yang melibatkan bidang kuasa, kerahsiaan serta kedaulatan negara yang berkenaan. Oleh itu, sebarang cadangan pengubalan undang-undang baharu ini perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan peruntukannya benar-benar boleh dilaksanakan dan dikuatkuasa secara berkesan,” katanya pada sidang media Libat Urus Berhubung Jerebu, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Arthur berkata Malaysia ketika ini terus menggunakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) sebagai asas penguatkuasaan terhadap pencemaran dan pembakaran terbuka yang berlaku dalam negara.
Di peringkat serantau pula, beliau berkata Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) kekal sebagai kerangka utama kerjasama negara anggota ASEAN dalam menangani isu berkenaan.
Katanya, perjanjian itu mengiktiraf hak kedaulatan setiap negara, di samping tanggungjawab memastikan aktiviti dalam bidang kuasa masing-masing tidak menyebabkan kerosakan alam sekitar atau menjejaskan kesihatan rakyat negara lain.
“Sekiranya Malaysia ingin mengambil langkah yang serupa, kita perlu memastikan usaha dan rang undang-undang itu berkesan, dan bukan setakat untuk memuaskan optik rakyat sahaja,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Arthur turut memberikan contoh sebuah negara anggota ASEAN yang pernah cuba menggubal undang-undang seumpama itu kira-kira 10 tahun lepas, namun berdepan masalah ketika pelaksanaannya.
Katanya lagi, dalam Mesyuarat Peringkat ASEAN pada 9 Julai lalu, Malaysia telah membawa cadangan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan bagi memperkukuh pencegahan, kesiapsiagaan serantau, serta pemantauan.
“Tahun hadapan akan menjadi giliran (Malaysia) mempengerusikan Sub-Regional Haze Community di peringkat ASEAN.
“Kita sedang buat beberapa kajian dan perancangan untuk memperkenalkan beberapa tindakan transformasi di Peringkat ASEAN berkaitan jerebu, dengan harapan kita dapat mengambil beberapa langkah yang lebih efektif dan konkrit apabila kita mempengerusikannya,” kata Arthur. -Astro Awani
