Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikenang sebagai seorang negarawan yang berjiwa luhur, tenang dalam kepimpinan, serta sentiasa meletak kepentingan rakyat sebagai keutamaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sumbangan dan jasa Allahyarham dalam membentuk asas pentadbiran berteraskan integriti serta prinsip Islam Hadhari, akan terus terpahat dalam lipatan sejarah negara.

“Malam ini, saya dan seluruh rakyat Malaysia menerima khabar duka dengan penuh rasa hiba apabila dimaklumkan bahawa Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5, sudah kembali ke Rahmatullah pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya secara peribadi amat terkesan dengan pemergian beliau. Tun bukan sekadar seorang tokoh negara, tetapi juga seorang mentor dan pemimpin yang amat saya hormati,” katanya dalam hantaran melalui media sosial beliau, hari ini.

Ahmad Zahid turut mengimbau Allahyarham banyak membuka ruang, memberi peluang dan berkongsi nasihat tidak ternilai dalam perjalanan awal kariernya.

“Bimbingan dan kepercayaan yang beliau berikan, menjadi antara asas penting yang membentuk diri dan arah langkah saya hingga ke hari ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau sekeluarga merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada Tun Jeanne Abdullah serta seluruh keluarga Allahyarham.

“Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat penuh dukacita ini.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal bakti Allahyarham, serta menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam hantaran melalui Facebook, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Fadillah juga senada menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat dan negara.

“Jasa dan kepimpinan beliau yang berlandaskan Islam Hadhari serta memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sepanjang menerajui kepimpinan negara antara 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, tetap dikenang selama-lamanya,” katanya.-BH Online