KUALA LUMPUR: Himpunan 25K Huffaz akan dianjurkan sekali lagi tahun ini sebagai manifestasi usaha kolektif dalam mengangkat martabat institusi tahfiz.
Ia juga bertujuan meraikan huffaz yang menjadi penyuluh kepada masyarakat dan simbol kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan huffaz.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkembangan institusi tahfiz di Malaysia kini berada pada tahap membanggakan dengan kewujudan 18 Maahad Tahfiz Negeri dan 1,058 Maahad Tahfiz Swasta beroperasi di seluruh negara.
Sehubungan itu, katanya, institusi huffaz akan terus dimartabat sebagai pusat pembentukan generasi rabbani.
Golongan itu, tegasnya, bukan sahaja mahir dalam hafazan al-Quran tetapi juga memiliki keupayaan intelektual serta kemahiran relevan bagi menyumbang kepada pembangunan negara.
“Sehingga kini, seramai 55,000 pelajar tahfiz mengikuti pengajian dengan bimbingan hampir 8,000 tenaga pengajar berdedikasi.
“Minat masyarakat terhadap pendidikan tahfiz semakin tinggi, mencerminkan kesedaran yang berkembang terhadap kepentingan pembinaan generasi al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Himpunan 24K Huffaz diadakan buat julung kalinya pada 14 September tahun lalu, dengan perasmiannya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid berkata, bagi memastikan institusi huffaz terus berkembang secara sistematik dan kekal relevan dengan keperluan semasa, kerajaan merangka beberapa inisiatif utama termasuk Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN 2.0) yang sedang dibangunkan.
Tegasnya, ia bagi memastikan pendidikan tahfiz lebih tersusun dan berkualiti.
“Penambahbaikan kurikulum, penyelarasan akreditasi serta peningkatan infrastruktur dan sumber kewangan menjadi keutamaan dalam memastikan institusi tahfiz melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.
“Kerajaan juga memperkenalkan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0) yang bukan sahaja menilai hafazan 30 juzuk, tetapi turut menguji pemahaman serta ilmu Islam berkaitan kepada penghafaz al-Quran,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) turut diperkenal sebagai pengiktirafan rasmi kepada huffaz berdasarkan tahap hafazan yang dicapai.
Katanya, peperiksaan itu dijalankan dua kali setahun dan dianugerahkan oleh Darul Quran JAKIM.
Selain pendidikan agama, katanya, generasi huffaz juga perlu didedahkan kepada kemahiran teknikal dan vokasional yang relevan dengan keperluan industri.
“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, kami memperkenalkan inisiatif TVET-Tahfiz sebagai game changer (pengubah keadaan) dalam sistem pendidikan negara.
“Program berkenaan membuka ruang kepada huffaz menceburi bidang teknikal dan vokasional tanpa mengorbankan keunggulan mereka sebagai penghafaz al-Quran,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha menanam kecintaan terhadap al-Quran perlu bermula sejak usia kanak-kanak.
Melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), jelasnya, Pra-Tahfiz Tabika KEMAS diperkenal bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai hafazan al-Quran.
Katanya, program itu bukan sahaja membina asas kukuh dalam pendidikan tahfiz, tetapi juga menanam nilai Islam yang akan membentuk jati diri mereka sejak kecil.
Ahmad Zahid berkata, ia mampu menjadi asas kepada sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050.
“Ia bukan sekadar angka, tetapi visi besar untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai pusat rujukan pendidikan al-Quran bertaraf dunia.
“Justeru, saya harap ibu bapa, komuniti, sektor swasta, dan seluruh rakyat Malaysia akan bersama menyokong usaha memartabat institusi huffaz.
https://googleads.g.doubleclick.net/pagead/ads?gdpr=0&client=ca-pub-7290637544752706&output=html&h=358&adk=1983910584&adf=2803648221&pi=t.aa~a.1654364369~i.49~rp.4&w=430&abgtt=6&lmt=1739535210&num_ads=1&rafmt=1&armr=3&sem=mc&pwprc=9625033039&ad_type=text_image&format=430×358&url=https%3A%2F%2Fwww.bharian.com.my%2Fberita%2Fnasional%2F2025%2F02%2F1361388%2Fkerajaan-terus-martabatkan-golongan-huffaz-bakal-anjur-himpunan&fwr=1&pra=3&rh=332&rw=398&rpe=1&resp_fmts=3&sfro=1&wgl=1&fa=27&dt=1739535212738&bpp=1&bdt=1603&idt=0&shv=r20250211&mjsv=m202502110101&ptt=9&saldr=aa&abxe=1&cookie=ID%3D94e050ad153eedeb%3AT%3D1739510759%3ART%3D1739535044%3AS%3DALNI_MaEuHRJo3EckwvP2O5xIcX-Vdi_fA&gpic=UID%3D00001039a33b90aa%3AT%3D1739510759%3ART%3D1739535044%3AS%3DALNI_Mbxrx49Yb2Cy-QpttnLOA4IDfIzkQ&eo_id_str=ID%3D151633fd1f1503c5%3AT%3D1739510759%3ART%3D1739535044%3AS%3DAA-AfjbCzHQM04jRWkzV1s9Usa-n&prev_fmts=0x0%2C430x358&nras=3&correlator=5950454166617&frm=20&pv=1&u_tz=180&u_his=1&u_h=932&u_w=430&u_ah=932&u_aw=430&u_cd=24&u_sd=3&adx=0&ady=3534&biw=430&bih=731&scr_x=0&scr_y=0&eid=31089911%2C95344789%2C95352068%2C95347433%2C95350015&oid=2&pvsid=532103373677272&tmod=1840788926&uas=1&nvt=1&ref=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F&fc=1408&brdim=0%2C0%2C0%2C0%2C430%2C0%2C430%2C731%2C430%2C731&vis=1&rsz=%7C%7Cs%7C&abl=NS&fu=128&bc=31&bz=1&ifi=3&uci=a!3&btvi=2&fsb=1&dtd=1025
“Bersama, kita dapat memastikan institusi berkenaan terus berkembang dan kekal relevan dalam melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang, berilmu dan berdaya saing,” katanya.-BH Online