Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Cadangan pindaan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi memperkukuh kawal selia terhadap kegiatan kutipan dana pertubuhan berdaftar disifatkan sebagai langkah tepat bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ia khususnya dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti kebajikan.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sememangnya sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai NGO dalam melaksanakan program kebajikan serta membantu golongan sasar di seluruh negara.

“Sehubungan itu, saya berharap semua NGO, khususnya yang menjalankan aktiviti kebajikan, akan terus mematuhi undang-undang, mengamalkan tadbir urus yang baik serta berintegriti dalam setiap aspek pengurusan organisasi termasuk kutipan dan pengurusan dana,” katanya ketika ditemui selepas Program Wishesland Kuching’s Charity Food Fair 2026 di Dewan Masyarakat MBKS, di sini, hari ini.

Cadangan pindaan Akta Pertubuhan 1966 itu antara lain bertujuan menambah baik kawal selia terhadap aktiviti kutipan dana oleh pertubuhan berdaftar, selain memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap perbuatan penyelewengan dana susulan beberapa kes yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, NGO yang menguruskan dana secara telus dan berakauntabiliti tidak seharusnya melihat pindaan itu sebagai beban, sebaliknya sebagai satu mekanisme yang mampu melindungi reputasi serta meningkatkan kredibiliti organisasi masing-masing.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, langkah berkenaan diyakini dapat memperkukuh sistem pengurusan kewangan NGO, memastikan kutipan dana dilakukan secara lebih telus serta mengelakkan berlakunya penyelewengan yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat.

“Pada masa sama, usaha ini akan meningkatkan keyakinan orang ramai untuk terus menyokong NGO yang benar-benar menjalankan kerja-kerja kebajikan, sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan secara lebih berkesan,” katanya.

Laporan Eksklusif BH hari ini mendedahkan pindaan Akta 832 oleh RoS itu antara lain dilaksanakan bagi menambah baik kawal selia terhadap kegiatan kutipan dana oleh pertubuhan berdaftar di negara ini.

Pindaan itu akan turut membabitkan hukuman lebih berat terhadap perbuatan penyelewengan dana berikutan wujud beberapa kes seumpama itu sejak akhir-akhir ini seperti yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut akta sedia ada, tiada peruntukan khusus yang memperincikan kesalahan berkaitan kutipan dana yang dipercayai menjadi punca sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil kesempatan mengaut kekayaan dengan menyalahguna kutipan untuk kepentingan peribadi.

Mengikut Seksyen 53 akta berkenaan, penalti bagi kesalahan salah guna wang atau harta pertubuhan berdaftar, hanya maksimum RM5,000 yang disifatkan RoS terlalu rendah. -BH Online