PUTRAJAYA: Badan penguat kuasa negara berhak untuk menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang sedia ada selagi ia belum dipinda.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi, berkata justeru agensi mahupun badan penguat kuasa harus bersikap profesional dalam menjalankan tugasan mereka berlandaskan undang-undang sedia ada.
Bagaimanapun, beliau berkata, Kerajaan Madani tetap melihat keperluan untuk melaksanakan pindaan terhadap akta itu selagi ia boleh ditambah baik.
“Isu mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat ada dibincangkan, baru-baru ini, dan Menteri Undang-undang [Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)] juga sudah memberi jawapan, termasuk satu memorandum kepada Jemaah Menteri.
“Ia bagi membuat satu keputusan dasar mengenai cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
“Jadi, ada beberapa perkara perlu dirujuk kepada Menteri Undang-Undang, namun pada masa ini juga agensi serta badan penguat kuasa perlu bersikap profesional berlandaskan undang-undang sedia ada.
“Buat masa ini, selagi ia belum dipinda, maka akta sedia ada (untuk penguat kuasa) terpakai,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dilaporkan berkata kerajaan tidak bercadang untuk meminda peruntukan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada umum terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada agensi penguat kuasa.
Azalina dipetik berkata, seseorang boleh membuat pendedahan perlakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguat kuasa dan pada masa sama, perlindungan boleh diberikan kepada pemberi maklumat apabila ia dibuat kepada mana-mana agensi penguat kuasa.
Sambil merujuk kepada dakwaan rasuah perolehan projek mineral di Sabah, Azalina berkata, pemberi maklumat dalam kes itu membuat pendedahan kepada umum terlebih dahulu sebelum melaporkannya kepada agensi penguat kuasa.
Sementara itu mengulas mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ke-57 pula, Fahmi berkata, beberapa perkara sedang diteliti kerajaan, termasuk penambahbaikan akta berkaitan yang sedia ada.
“Menteri Undang-Undang juga sudah menyatakan sejumlah perkara akan diusahakan kerajaan tahun ini yang bersifat ke hadapan, termasuk Akta Perkhidmatan Parlimen,” katanya.-BH Online