Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU, 2 Jun – Lelaki berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan lima kenderaan yang meragut lima nyawa di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang, Johor semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh dalam kenyataan berkata, suspek dipercayai memandu sebuah Mercedes Benz A250 secara laju dan melulu bersama sebuah BMW 530e yang dipandu abangnya berusia 22 tahun.

Menurut beliau, kemalangan berlaku kira-kira 1.15 petang apabila BMW 530e hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan lain.

Nahas itu mengorbankan pemandu BMW 530e serta empat sekeluarga yang menaiki Toyota Vios, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, manakala kenderaan Mercedes Benz A250 yang dipandunya turut dirampas bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Berita RTM