KUALA TERENGGANU: Tiga anjakan utama membabitkan pemilikan ekonomi, penciptaan teknologi dan penguasaan rantaian nilai perlu dilaksanakan bagi memastikan ekonomi Bumiputera terus berkembang serta mampu bersaing dalam landskap ekonomi moden.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata agenda ekonomi Bumiputera tidak boleh lagi tertumpu kepada penyertaan, sebaliknya perlu bergerak ke tahap yang lebih tinggi dan strategik.
Katanya, anjakan pertama adalah membawa usahawan Bumiputera daripada penyertaan kepada pemilikan dalam pelbagai sektor ekonomi khususnya ekonomi digital.
“Sebelum ini kita sering mengukur kejayaan melalui penyertaan tetapi berapa ramai Bumiputera berniaga dan terbabit dalam ekonomi digital, tetapi persoalan lebih penting ialah siapa yang memiliki platform dan menguasai pasaran itu.
“Kita boleh ramai berniaga di platform digital tetapi siapa yang memiliki platform?,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, anjakan kedua adalah memastikan Bumiputera tidak sekadar menjadi pengguna teknologi sebaliknya muncul sebagai pencipta nilai menerusi pembangunan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, usahawan, pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelidik serta pemain industri perlu digerakkan dalam satu ekosistem yang mampu menghasilkan penyelesaian teknologi tempatan yang berdaya saing.
“AI tidak boleh dilihat sebagai teknologi elit yang hanya sesuai untuk syarikat besar, sebaliknya ia mesti dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan memperluaskan pasaran usahawan Bumiputera,” katanya.
Pengerusi TVET itu berkata anjakan ketiga adalah membawa usahawan Bumiputera daripada pasaran kecil kepada penguasaan rantaian nilai yang lebih besar dalam sektor strategik.
Katanya, usahawan Bumiputera tidak boleh selamanya berada pada kedudukan vendor kecil atau pembekal sampingan sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar dalam industri bernilai tinggi.
“Sektor seperti industri halal, aeroangkasa, dron, automasi dan teknologi tinggi menawarkan peluang besar untuk diterokai bagi melonjakkan penguasaan ekonomi Bumiputera.
“Jika tiga anjakan ini dapat dilaksanakan dengan berani dan tersusun, ekonomi Bumiputera tidak lagi bergerak di pinggir pasaran tetapi mampu berdiri sebagai kekuatan utama dalam ekonomi negara,” katanya.-BH Online
