JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan mana-mana negeri dalam pelaksanaan pembangunan negara, termasuk Johor yang kini menjadi antara tumpuan utama pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ialah memastikan setiap pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan benar-benar dapat meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk golongan belia.
Malah, katanya, dengan adanya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ia mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih tinggi.
“Nak cerita tentang pembangunan, tuan-tuan dah banyak kali dengar. Nak tahu tentang JS-SEZ, ada orang nak bahas, saya pun malas nak jawab. Tapi saya nak beritahu, kita tak pernah abaikan mana-m
“Apa yang penting, apa manfaat bagi belia. Peluang pekerjaan yang baru tak cukup, kita nak tentukan peluang pekerjaan itu dapat menjamin pendapatan yang lebih tinggi.
“Kalau graduan TVET pun 98 peratus dapat kerja dengan gaji RM2,000, macam mana nak hidup di Johor Bahru? Saya tahu, gaji RM2,000 tak cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra PMX bersama Belia Johor sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi peringkat negeri Johor tahun 2026, di Taman Melor, Tampoi, Johor Bahru.
Menurutnya lagi, pendekatan kerajaan adalah berasaskan keseimbangan pembangunan, termasuk usaha merapatkan jurang pendapatan dan menangani tekanan kos sara hidup di kawasan bandar.
Malah, katanya, setiap kejayaan pembangunan negara tidak wajar diukur melalui projek mega semata-mata, sebaliknya mesti memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Bukan kerana pencakar langit, bukan kerana gedung besar atau jambatan panjang, tetapi bagaimana kita jamin keselesaan hidup rakyat dan pekerjaan anak muda,” katanya.
Katanya, pembangunan seperti JS-SEZ bukan hanya tertumpu kepada Johor, sebaliknya adalah sebahagian daripada strategi nasional untuk menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat di seluruh negara. -BH Online
