PAPAR: Kerajaan Persekutuan bersedia meneliti mekanisme bersesuaian bagi pelaksanaan kuota subsidi diesel di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah, dengan syarat ia dilaksanakan menerusi kerjasama erat kerajaan negeri.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan di peringkat Persekutuan sentiasa terbuka untuk menambah baik pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi memastikan bantuan terbabit sampai kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata, kerajaan juga memahami cabaran dihadapi penduduk di kawasan pedalaman yang menggunakan kenderaan berenjin diesel sebagai pengangkutan utama, namun sebarang penambahbaikan perlu dibuat berdasarkan mekanisme bersesuaian.
“Bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh negara, sekiranya ada mekanisme yang membenarkan, kita akan melihat perkara itu. Perkara yang paling penting ialah kita memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri.
“Melalui usaha sama dengan kerajaan negeri untuk memberi maklum balas, kita boleh usahakan mekanisme yang sepatutnya (membantu) mereka yang terkesan. Proses ini mungkin ambil masa untuk memastikan mekanisme yang betul, tetapi kita tetap akan pertimbangkan,” katanya.
Beliau bercakap demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Mikro Kredit Turun Padang di Pasar Tamu Papar, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.
Hadir sama, Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid.
Amir Hamzah berkata, bagi kenderaan diesel yang digunakan untuk tujuan perniagaan seperti perkhidmatan pengangkutan penumpang atau membawa barangan, pengusaha boleh memohon kuota lebih tinggi.
Katanya, permohonan boleh dibuat menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Melalui penggunaan kad fleet, kuota diesel boleh dinilai dan disesuaikan mengikut keperluan operasi perniagaan. Bagi penggunaan persendirian, kuota asas ialah 200 liter dengan tambahan sehingga 100 liter melalui permohonan.
“Bagaimanapun, jika kenderaan itu digunakan sebagai pengangkutan utama penduduk seperti kereta sewa atau kereta tambang di kawasan pedalaman, ia boleh dikategorikan sebagai penggunaan perniagaan dan layak memohon SKDS,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus menilai setiap cadangan yang dikemukakan bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar dapat memenuhi keperluan sebenar rakyat tanpa menjejaskan matlamat mengurangkan ketirisan subsidi.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pelaksanaan subsidi diesel bersasar setakat ini lancar tanpa sebarang gangguan dan sehingga semalam, lebih 220,000 pemilik kenderaan diesel berjaya memperoleh peningkatan kuota daripada 200 liter kepada 300 liter.
Beliau menambah, kerajaan turut memperluaskan kelayakan kepada pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) berkuasa diesel berikutan penggunannya tinggi bagi tujuan perniagaan dan pengangkutan. -BH Online

