Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG: Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan semula operasi perkhidmatan jet buat kali pertama sejak 22 tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sebanyak enam syarikat penerbangan iaitu FireFly, AirAsia Malaysia, Batik Air Malaysia, SKS Airways, Transnusa, dan Scoot akan memulakan operasi perkhidmatan jet di LTSAAS mulai Khamis ini.

“Fasa operasi interim jet (IJO) di LTSAAS, yang bermula 1 Ogos ini akan meningkatkan kapasiti terminal lapangan terbang berkenaan daripada 1.5 juta penumpang kepada tiga juta setahun serta memperkenalkan operasi pesawat jet berbadan sempit seperti Boeing 737 dan Airbus A320.

“Kerja pembinaan untuk IJO telah bermula pada Disember 2023 sebelum siap pada 30 Jun 2024, dan hari ini LTSAAS telah bersedia untuk memulakan semula operasi untuk pesawat jet.

null

“Operasi jet di LTSAAS dihadkan kepada hanya satu penerbangan untuk setiap satu jam, dengan tempoh operasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam memandangkan kawasan ini turut dikelilingi penempatan penduduk,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan sebelum permulaan operasi jet di LTSAAS, di sini, hari ini.

Menurut Loke, fasa IJO bermula dengan sembilan penerbangan sehari daripada syarikat Firefly, AirAsia Malaysia, Batik Air Malaysia, Transnusa dan Scoot.

“Batik Air Malaysia akan mengoperasikan penerbangan tiga kali seminggu ke Pulau Pinang menggunakan Boeing 737 bermula 1 Ogos ini, sebelum kekerapan ditambah kepada tujuh kali seminggu bermula 15 Ogos, sementara Transnusa menerbangkan Airbus A320 tujuh kali seminggu dari Jakarta Soekarno-Hatta bermula 1 Ogos.

“Firefly pula menyediakan perkhidmatan Boeing 737 tujuh kali seminggu ke Kota Kinabalu dan Pulau Pinang bermula 29 Ogos; AirAsia Malaysia mengoperasikan 14 kali seminggu Airbus A320 ke Kota Kinabalu dan Kuching bermula 30 Ogos; manakala Scoot menyediakan penerbangan tujuh kali seminggu menggunakan Airbus A32o bermula 1 September.

“Ditambah penerbangan ATR Firefly sedia ada sebanyak 266 kali seminggu ke Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Kuala Terengganu dan Seletar, Singapura, ketersambungan dan rangkaian LTSAAS akan bertambah kepada penerbangan terus ke lapan destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengemukakan kepada Kabinet esok mengenai keperluan sistem pagar automatik di LTSAAS bagi melancarkan perjalanan penumpang.

Mengulas lanjut, Loke berkata perkhidmatan keretapi komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) KL Sentral dan Lapangan Terbang Subang atau SkyPark Link dijangka kembali beroperasi sebaik terminal baharu di LTSAAS mula dibuka pada 2028.

Beliau bagaimanapun berkata, operasi SkyPark Link mungkin boleh diawalkan lagi sekiranya terdapat permintaan yang tinggi.

“Saya pernah katakan sebelum ini bahawa apabila terminal baharu sudah bersedia untuk beroperasi, perkhidmatan tren ini juga perlu bersedia.

“Malah, kita melihat kepada kemungkinan untuk ia beroperasi lebih awal kerana landasan dan stesennya sudah ada, hanya perlu menunggu untuk permintaannya kembali meningkat,” katanya.-BH Online