GUA MUSANG: UMNO menyifatkan Perikatan Nasional (PN) menggunakan modal kempen sama membabitkan isu penyasaran subsidi diesel pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata isu itu dijadikan bahan kempen utama gabungan berkenaan pada PRK Sungai Bakap bulan lalu.
Bagaimanapun katanya, penduduk Gua Musang khususnya di DUN Nenggiri sudah matang dan rasional terutama masyarakat Orang Asli berhubung isu berkenaan.
Pada masa sama, pihaknya meminta jentera parti memperhebatkan penerangan berhubung isu terbabit kepada pengundi di DUN Nenggiri.
“Mereka (PN) memang gunakan isu sama sebagaimana di Sungai Bakap. Namun saya yakin penduduk Orang Asli dan penduduk yang lain cukup rasional dan sudah menerima penjelasan berhubung subsidi diesel itu.
“Fitnah dan tohmahan memang akan dilakukan pihak pembangkang setiap masa terutama sepanjang tempoh berkempen bermula Sabtu ini.
“Apapun fitnah yang dibuat, penjelasan akan dibuat kembali oleh jentera Kerajaan Perpaduan dan penerangan berhubung isu berkenaan akan diperhebatkan.
“Walaupun saya memang belum berpuas hati dengan kerja-kerja jentera, saya yakin mereka akan tingkatkan usaha sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa dan Projek Mengganti Jambatan Batu 6, di sini, hari ini.
Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun.
SPR menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Nenggiri masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.-BH Online