Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang di Vila 12, Rumah Tamu Negara Diaoyutai dekat sini.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri disambut Qiang sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan mesyuarat yang berlangsung hampir sejam.

Ini pertemuan empat mata pertama dan bersejarah di antara kedua-dua pemimpin, selepas Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, pada Disember 2022.

Turut bersama beliau dalam kunjungan hormat itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin; Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad; Setiausaha Bahagian Asia Timur Kementerian Luar, Datuk Mohd Tarid Sufian dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Norfarina Mohd Azmee.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, tarikh 31 Mei sangat bersejarah kepada Malaysia-China selepas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China, mendiang Chou En-lai menandatangani Kenyataan Bersama, pada 1974.

Mengimbau peristiwa bersejarah berkenaan, beliau berkata, banyak negara lain ketika itu tidak memiliki keberanian seperti Malaysia untuk mengiktiraf Kerajaan China.

“Perdana Menteri Kedua Malaysia individu sangat berpandangan jauh dan kini saya mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Malaysia untuk memperkukuh hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Pemerkasaan hubungan dua hala Malaysia-China tidak hanya terhad dalam aspek kerajaan kepada kerajaan atau perniagaan ke perniagaan, sebaliknya turut membabit rakyat dengan rakyat,” katanya.

Vila 12 sebelum ini, pernah didiami pemimpin ulung China, mendiang Mao Zedong, selain bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan dan bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher.

Premis berkenaan dilengkapi 17 bilik, termasuk Kamar Presiden serta bilik mewah dan biasa.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada kepemimpinan Presiden China, Xi Jinping yang banyak membantu jutaan warga Malaysia ketika berdepan pelbagai cabaran, termasuk pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonomi dunia.

Beliau berkata, keprihatinan Jinping sangat bermakna dan menyentuh perasaan jutaan rakyat, selain memaklumkan Malaysia sangat menantikan kunjungan beliau ke negara ini.

Ahmad Zahid juga menghargai setiap pelaburan asing yang berjaya diperoleh dari China ke Malaysia.

“Hubungan diplomatik Malaysia-China tidak boleh diganggu gugat atau dirosakkan oleh pengaruh luar. Malaysia menyokong penuh dasar China, menentang kuasa luar yang cuba mengapi-apikan, terutama (dalam konflik) di Laut China Selatan.

“Hubungan di antara rakyat dan pentadbiran di kedua-dua negara sentiasa terjamin, diibaratkan seperti sungai yang mengalir dan ia sangat bermakna kepada Malaysia.

“(Malaysia-China) perlu memastikan pertumbuhan menyeluruh berterusan untuk generasi kita, selain menjamin kesejahteraan semua rakyat kedua-dua negara untuk beberapa dekad lagi,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Sementara itu, Qiang menyifatkan kunjungan Ahmad Zahid dan delegasi Malaysia ke China sangat bermakna, terutama ketika kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

“Hari ini sangat istimewa dan perlu sentiasa diingati. Sudah 50 tahun pemimpin kedua-dua negara mengadakan pertemuan penting dan bersejarah yang meletakkan asas penting kepada hubungan dua hala Malaysia-China.

“Kini, kedua-dua negara muncul sebagai rakan strategik komprehensif yang berusaha ke arah pembangunan dan pertumbuhan bersama. Kita meraih pelbagai keputusan yang hebat dalam banyak kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Rujukan pada masa lalu membuka jalan lebih baik untuk (kerjasama) masa depan. Mari jadikan 50 tahun ini sebagai asas untuk tahun lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke China selama 11 hari bermula 22 Mei lalu, selepas menerima undangan daripada Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.

Semasa lawatan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dijadual mengadakan perbincangan bersama Xuexiang serta Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong semasa lawatannya di ibu negara China.

Beliau juga akan menjadi tuan rumah bagi Majlis Resepsi Gala dan menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, dianjurkan bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Malaysia-China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974, dan ini lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Wisma Putra sebelum ini, memaklumkan lawatan rasmi Ahmad Zahid bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, selain beliau dijangka meneroka peluang kerjasama, terutama dalam bidang pendidikan memfokuskan kepada TVET, pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.-BH Online