Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan dan melaksanakan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) di Selangor belum menerima apa-apa kontrak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pada mesyuarat Kabinet hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada menyentuh isu berkenaan.

Katanya, Anwar pada mesyuarat terbabit mengingatkan Jemaah Menteri bahawa lesen dipegang syarikat berkenaan dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Perdana Menteri memaklumkan mengenai isu Asia Mobolity yang mendapat (projek rintis DRT), yang sedang melakukan POC (pembuktian konsep) di Selangor.

“Perdana Menteri memaklumkan dan mengingatkan Jemaah Menteri bahawa lesen dipegang syarikat terbabit diberikan oleh APAD, belum ada apa-apa kontrak diberikan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Minggu lalu, Exco Selangor, Ng Sze Han, menyatakan Asia Mobility adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan APAD bagi melaksanakan perkhidmatan itu tetapi isu timbul apabila Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility ialah suami Hannah Yeoh, Ramachandran Muniandy.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tidak mengesan sebarang percanggahan kepentingan dalam pemberian kontrak DRT oleh kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu kerana kerajaan Selangor tidak ada kena mengena dengan Kementerian Kelia dan Sukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata berdasarkan pemerhatiannya dalam pemberitaan di media, projek berkenaan diberikan oleh entiti lain yang tidak kena mengena dengan Hannah.-BH Online