Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Langkawi menjadi pulau pertama di negara ini memiliki padang bola sepak sintetik atau padang rumput tiruan bernilai RM3.5 juta dibina di Kampung Ulu Melaka, di sini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata padang yang diyakini mampu meningkatkan lagi budaya sukan dalam kalangan penduduk tempatan itu siap dibina pada 2 Januari lalu.

“Projek ini mula dibina pada 2020 menggunakan peruntukan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan hari ini kita serahkan kepada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLPBP) untuk pengurusan.


“Pembinaan fasiliti ini memberi manfaat besar dan dilihat selari dengan teras dalam Visi Sukan Negara 2030,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Padang Bola Sintetik di Kampung Kumpulan di sini, hari ini.

Hannah berkata, padang canggih itu juga diyakini dapat menjadi medan mencungkil bakat baharu di pulau ini untuk diketengahkan sebagai pemain bola sepak daerah, negeri dan kebangsaan pada masa akan datang.

“Ini adalah fasiliti bertaraf moden kedua yang siap dibangunkan KBS di Kedah selepas pembangunan Pusat Skuasy Kedah di Alor Setar bernilai RM10.8 juta telah diserahkan kepada kerajaan negeri pada Disember lalu.

“KBS kini mengutamakan projek menaik taraf fasiliti sedia ada, kalau (perlu) bina baharu kita akan kaji keperluan di tempat terbabit bagi memastikan tiada pembaziran kerana kos menyelenggara fasiliti seperti ini tinggi,” katanya.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Datuk Mohd Suhaimi Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Radhi Mat Din; Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Shamsilah Siru; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KBS, Abdullah Hasan; Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Yang Dipertua MPLBP, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah.-BH Online