Sorting by

×

PKR terbuka untuk menerima teguran daripada mana-mana ahli, namun ahli terbabit juga harus bersedia ditegur oleh parti, kata Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil.

Mengambil contoh teguran PKR terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di mana kenyataannya baru-baru ini dilihat sebagai mencampuri urusan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, Fahmi menegaskan, tegur-menegur adalah perkara biasa dan juga amalan dalam parti itu.

“Cuma, ada beberapa perkara yang menjadi disiplin kepada parti. Kalau Pak Hassan (Hassan Abdul Karim) boleh menegur (parti), maka dia juga boleh ditegur (oleh parti),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Youth Empowerment Fair 2024 (YEF2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Hassan yang juga Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), diberi ‘teguran keras‘ supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang dilihat seolah-olah mahu mencampuri urusan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH dipetik berkata, Hassan seharusnya menghormati rakan parti yang kini bersama-sama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, Hassan dilapor menjelaskan, beliau tidak berkecil hati dengan ‘teguran keras’ oleh Fahmi itu, malah partinya boleh memecat beliau jika menganggap tindakannya bersuara sebagai satu kesalahan.

Ditanya sama ada Hassan akan dikenakan tindakan disiplin pula, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan buat masa ini, parti belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

“Kita tunggulah tetapi waktu ini, kita belum mengadakan mesyuarat… jadi perkara itu (mengenakan tindakan disiplin terhadap Hassan) tidak timbul,” katanya.

Pada Rabu lalu, Hassan dilaporkan berkata, UMNO perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ PH pimpinan Anwar yang diakuinya ‘rapuh’ berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16. 

Hassan dipetik berkata, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma dalam parti itu adalah penting untuk mendapatkan undi Melayu.

Kenyataan beliau itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk Fahmi yang meminta Hassan berhenti campur tangan dalam ehwal dalaman parti sekutu PH. – Bernama