Sorting by

×

Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan polis mengambil tindakan ke atas bekas setiausaha publisiti DAP, Tony Pua mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong. 

Katanya, polis sepatutnya sudah pun menahan bekas pemimpin DAP itu kerana sudah membuat tiga hantaran yang jelas berbentuk hasutan.

“Saya minta Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan, kalau dulu saya baru cakap sikit terus polis sampai ke rumah.

“Hari ini, bukan satu posting tetapi tiga posting dibuat, tidak perlu tunggu orang buat laporan polis, …polis sendiri boleh buat laporan dan boleh tangkap Tony di bawah Akta Hasutan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Jumaat lalu, Tony menyindir keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung pengurangan hukuman kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Presiden UMNO. 

Menerusi hantaran di Facebook, Tony dilihat menzahirkan rasa tidak puas hatinya menerusi sebaris ayat. 

“Bolehkah seseorang menghantar saya ke penjara selama setahun dan sebagai pertukaran, membayar saya RM50 juta, banyak cantik” tulisnya. 

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, jika tiada sebarang tindakan dibuat terhadap Tony maka orang UMNO akan mempertikaikan keputusan yang sudah dibuat Lembaga Pengampunan Diraja.

Beliau juga menggesa DAP mengambil tindakan terhadap Tony dengan tindakan yang disifatkan biadap itu. 

“Jika tidak mengambil tindakan ini akan memberi isyarat bahawa DAP dan barisan kepemimpinannya hari ini bersetuju dengan kenyataan Tony. 

“Ini cukup biadap dan kurang ajar kerana menghina dan tidak menghormati keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. 

Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.-BH Online