Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti keperluan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Benih sebagai badan pengawal selia bagi memastikan standard benih negara memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport.

Menurut kenyataan KPKM, langkah berkenaan adakah satu daripada usaha menangani kebergantungan tinggi terhadap benih import.

KPKM memaklumkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) Bilangan 1 Tahun 2026 di MARDI Seberang Perai, Pulau Pinang, membabitkan wakil kementerian, agensi kerajaan serta pakar industri benih dan baka daripada sektor swasta.

Selain itu, mesyuarat terbabit turut membincangkan penetapan hala tuju pengukuhan industri ruminan di Malaysia yang merangkumi komoditi kambing dan lembu bagi mencapai hasil produktiviti tinggi melalui penghasilan baka berkualiti serta pelaksanaan kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak swasta.

“Inisiatif Hab Benih Negara bertujuan memperkukuh agenda membangunkan bekalan benih dan baka tempatan sebagai langkah strategik bagi menjamin kestabilan bekalan serta keselamatan makanan negara. 

“Agenda persediaan negara bagi menjamin bekalan benih sentiasa tersedia ini dilihat positif dan bertepatan terutamanya susulan krisis tenaga global yang telah memberi tekanan dan implikasi besar kepada rantaian bekalan makanan terutamanya perikanan, tanaman dan ternakan,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kementerian, Mohamad mengadakan lawatan ke Institut Pertanian Bumbong Lima (IPBL) sebagai tanda komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta menarik minat golongan belia untuk menceburi sektor pertanian. 

IPBL adakah satu daripada enam institusi latihan pertanian utama di Malaysia yang menawarkan Program Sijil Pertanian dan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan sehingga kini, IPBL melahirkan 3,430 graduan mahir di bawah Program Sijil Pertanian, manakala 148 graduan di bawah Program SKM. 

Melalui program latihan yang ditawarkan, IPBL mampu melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang pertanian, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kualiti benih dan baka tempatan.

“Pembangunan industri benih dan baka melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak swasta turut menyumbang kepada peningkatan daya saing sektor agromakanan.

“Oleh itu, usaha berterusan dalam memperkasakan benih dan baka tempatan adalah kunci utama ke arah mencapai keterjaminan makanan dan pembangunan pertanian yang mampan agar usaha mengurangkan import benih sebanyak 30 peratus menjelang 2040 dapat dicapai,” katanya.-BH Online