Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengetuai delegasi Malaysia pada Dialog Shangri-La IISS 2026, forum keselamatan peringkat tinggi selama tiga hari menumpukan pada keselamatan serantau mulai Jumaat.

Mohamed Khaled dijadual bertemu antara lain, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth dan Menteri Pertahanan Norway Tore Onshuus Sandvik dalam acara yang diadakan di Shangri-La Singapura.

Beliau juga akan berucap pada Sidang Pleno Keenam mengenai topik “Mengurus Ketegangan Serantau Dalam Persaingan Global” pada Ahad.

Pada sela acara, Mohamed Khaled akan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan dan pemimpin pertahanan dari Australia, Vietnam, Kanada, Republik Czech, Itali, Perancis, New Zealand, Thailand dan United Kingdom.

Beliau juga dijangka bertemu Menteri Penyelaras Keselamatan Negara dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam serta terlibat dalam perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Chan Chun Sing.

Selain itu, Mohamed Khaled turut dijadual menghadiri sesi pelbagai hala bersama-sama Menteri Pertahanan ASEAN dan Majlis Sarapan Tidak Rasmi Menteri Pertahanan Lima Kuasa Pengaturan Pertahanan (FPDA).

Dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di Britain, acara itu menghimpunkan menteri pertahanan, ketua tentera dan diplomat daripada puluhan negara di seluruh dunia. 

Pemimpin Vietnam To Lam bakal menyampaikan ucaptama pada petang Jumaat.– BERNAMA