PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan penghargaan terhadap komitmen berterusan kerajaan Arab Saudi dalam memastikan kelancaran pengurusan musim haji tahun ini yang melibatkan kira-kira 1.7 juta jemaah dari 165 negara seluruh dunia.
Beliau berkata penghargaan itu dizahirkan susulan pertemuan yang dipengerusikan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud bersama para pemimpin serta delegasi negara-negara yang hadir menunaikan ibadah rukun Islam kelima tahun ini.
Beliau berkata dalam sesi berkenaan, Putera Mahkota Mohammed berkongsi pelbagai usaha dan persiapan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi bagi menguruskan musim haji meliputi aspek logistik, infrastruktur, keselamatan, kesihatan dan kebajikan jemaah.
“Pengurusan ibadah haji pada skala sebegini sememangnya memerlukan perancangan yang sangat teliti.
“Saya amat menghargai komitmen berterusan kerajaan Arab Saudi dalam memastikan dhuyufurrahman (tetamu Allah) dapat menunaikan ibadah dengan selamat, teratur dan penuh ketenangan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Saifuddin Nasution yang juga merupakan antara jemaah haji tahun ini berkata beliau dapat melihat sendiri kesungguhan dan kecekapan pihak berkuasa Arab Saudi dalam menyediakan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan bagi melancarkan perjalanan ibadah jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia.
Beliau turut mendoakan agar segala usaha murni itu terus diberkati Allah SWT serta menjadi asbab kepada kelancaran urusan para tetamu-Nya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Tanah Suci sebagai destinasi yang menyatukan umat Islam dalam semangat ukhuwah, keamanan dan persaudaraan.
Untuk rekod, kerajaan Arab Saudi telah meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi 1447H/2026M.– BERNAMA
