Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Chithirai, Hari Vaisakhi dan Vishu kepada seluruh masyarakat Tamil, Sikh serta Malayalee di negara ini. 

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Anwar berharap tahun baharu itu membawa kebahagiaan yang menenangkan jiwa, kesihatan berpanjangan dan keberkatan melimpah kepada mereka yang menyambutnya.

“Dalam semangat ini, marilah kita terus memelihara perpaduan dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab supaya Malaysia kekal teguh sebagai negara yang makmur dan harmoni.

“Kepelbagaian yang kita warisi ini asas yang menyatukan kita dalam satu ikatan kebersamaan dengan semangat saling menghormati, memahami dan saling memperkukuh,” katanya.

Tahun Baharu Tamil ialah hari pertama dalam tahun mengikut kalendar Tamil, manakala Hari Vaisakhi menandakan permulaan musim menuai menurut kalendar masyarakat Sikh dan Punjabi yang diraikan hari ini.

Hari Vishu yang diraikan esok oleh masyarakat Malayalee pula menandakan permulaan tahun kalendar Malayalam dan melambangkan pembaharuan serta kemakmuran.– BERNAMA