KUCHING: Pengoperasian taman asuhan kanak-kanak (TASKA) ketika jerebu di beberapa negeri yang menyaksikan sekolah ditutup masih diteruskan buat masa ini, namun pengusaha dinasihatkan tidak membenarkan kanak-kanak melakukan sebarang aktiviti di luar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kementeriannya setakat ini tidak mengeluarkan arahan penutupan TASKA berikutan kebanyakan operasi berkenaan dijalankan di dalam bangunan.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha TASKA perlu mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya negeri terbabit mengarahkan sekolah ditutup berikutan keadaan jerebu yang membimbangkan.
“Untuk TASKA, kebanyakannya berada di dalam bangunan dan setakat ini kita tidak mengeluarkan sebarang arahan atau deklarasi supaya ditutup.
“Namun, jika negeri berkenaan sudah mengarahkan sekolah ditutup, maka mereka juga perlu mengikut arahan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Program Empoerus 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, pagi tadi.
Nancy berkata, ibu bapa juga mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada mahu menghantar anak ke TASKA yang masih beroperasi ketika keadaan jerebu.
Katanya, pihaknya memahami terdapat ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan kerana perlu bekerja dan tiada individu lain untuk menjaga anak mereka di rumah.
“Jadi mungkin ibu bapa boleh berbincang dengan majikan atau TASKA masing-masing untuk menentukan tindakan yang sesuai. Namun perkara paling penting yang perlu dipatuhi ialah jangan benarkan kanak-kanak bermain atau melakukan sebarang aktiviti di luar,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy menyarankan semua TASKA yang masih beroperasi memastikan semua aktiviti kanak-kanak dijalankan di dalam bangunan sepanjang tempoh keadaan jerebu.
Katanya, sekiranya terdapat kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan atau jatuh sakit ketika berada di situ mereka perlu segera dibawa mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor.
“Kita nasihatkan jangan bawa mereka keluar. Tiada aktiviti luar dan biarkan mereka berada di dalam bangunan. Kalau ada kanak-kanak yang sakit, sila bawa mereka berjumpa doktor,” katanya. -BH Online
