Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PELABUHAN KLANG, 14 April – Malaysia terus memperkukuh ketegasan dalam isu kedaulatan alam sekitar apabila sebanyak 15 kontena berisi sisa elektronik (e-waste) diarahkan keluar dari negara melalui Westport, di sini hari ini.

Tindakan tersebut merupakan hasil kejayaan Ops Green Shield, sebuah operasi bersepadu yang ditubuhkan sejak 27 Januari lalu bagi membanteras kemasukan sisa haram di pintu masuk negara.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, 14 kontena telah belayar keluar pada jam 8.00 pagi tadi, manakala satu lagi dijadualkan dihantar pulang pada petang esok.

“Sepanjang pelaksanaan Op Green Shield 1 hingga 21, sebanyak 456 kontena telah diperiksa. Daripada jumlah itu, 254 kontena disahkan mengandungi e-waste dan telah ditahan oleh AKPS bersama pasukan petugas khas (Joint Task Force),” katanya dalam sebuah kenyataan akhbar.

Beliau menambah, tindakan penguatkuasaan keseluruhan kini melibatkan 803 kontena, termasuk 549 kontena yang ditahan tahun lalu di bawah Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee menyasarkan sebanyak 150 lagi kontena sisa elektronik akan diusir keluar menjelang penghujung April ini. Beliau turut memuji kerjasama syarikat perkapalan yang membantu melancarkan proses pemulangan (re-export) ke negara asal.

“Ini adalah pencapaian penting. Apabila semua agensi bekerjasama dengan objektif yang sama, kita mampu menangani isu import e-waste haram dengan berkesan,” tegas beliau.

Operasi ini selari dengan langkah kerajaan menguatkuasakan larangan mutlak import e-waste bermula 1 April 2026. Larangan itu diwartakan di bawah Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026].

Langkah drastik ini membuktikan kesungguhan pihak berkuasa untuk memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan sisa elektronik antarabangsa yang melanggar Konvensyen Basel.

Operasi bersepadu ini turut melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang.

AKPS menegaskan akan terus memperketat pemeriksaan di semua pintu masuk bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti perdagangan sisa terlarang.-Berita RTM