Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo memberi peringatan bahawa tiada sebarang pertukaran kerajaan di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Tegas Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara, terdapat ura-ura kononnya pembangkang masih membina harapan bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan namun hakikatnya itu hanya sekadar tipu helah bagi mengelirukan rakyat.

“Saya ada terbaca sekali lagi beberapa hari lepas kononnya masih ada harapan untuk tukar kerajaan. Saya beritahu anda sekalian, untuk lima tahun akan datang tidak akan ada sebarang pertukaran. Hanya kerajaan Perpaduan sahaja.

“Untuk lima tahun akan datang ini, hanya akan Kerajaan Perpaduan yang stabil, kukuh dan berpaksikan rakyat.

“Terima kasih juga kepada rakyat yang sentiasa menyokong kita. Rakyat sokong kita bukan sahaja di peringkat Persekutuan sebaliknya juga negeri,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika ucapan aluan di Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2023 yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung, Anthony Loke di Shah Alam Convention Centre (SACC) di Shah Alam, pagi ini. -MalaysiaGazette