Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebanyak 32 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di negeri Sarawak menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) melibatkan 37,945 orang pekebun kecil dengan keluasan 213,607.51 hektar.

Sebanyak dua SPOC telah mendapat Pensijilan MSPO melibatkan seramai 2,645 orang pekebun kecil persendirian dengan keluasan 14,537.29 hektar bagi kawasan Asajaya.

Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyalurkan pelbagai insentif kepada pekebun kecil sawit persendirian, antaranya Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe).

Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata 69 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah urusniaga Buah Tandan Segar (BTS) sebanyak 332,633.25 tan sehingga September 2023.

Purata jualan BTS bagi sebuah pusat timbang adalah 401 tan sebulan.

Tambahnya, KPSM Daerah Asajaya Berhad yang ditubuhkan pada tahun 2013 telah memulakan jualan BTS pada bulan Januari 2023 dengan bilangan keahlian seramai 118 orang, dan sehingga September 2023 mencatatkan peningkatan jualan BTS yang mencecah 6,531.31 tan.

Di Sarawak, seramai 46,325 orang pekebun kecil mengusahakan kebun sawit menjadikan purata milik kawasan tanaman sawit bagi setiap pekebun kecil di Sarawak adalah seluas 5.5 hektar.

MPOB telah membuka 13 Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh Sarawak iaitu di Bau, Sessang, Betong, Sarikei, Serian, Sri Aman, Mukah, Sibu, Miri, Limbang, Batu Niah, Bintulu dan Sibuti yang menyediakan khidmat nasihat penanaman sawit dan pemindahan teknologi kepada pekebun kecil.

Kementerian melalui MPOB juga sedang mempertingkatkan usaha untuk melibatkan lebih ramai penyertaan pekebun-pekebun kecil sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan Pensijilan MSPO yang merupakan langkah strategik untuk meningkatkan imej industri sawit negara di peringkat global. – MalaysiaGazette