Sorting by

×

Dewan Negara Perak menyelar tindakan sesetengah pihak menularkan sebahagian kecil titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun 2013 demi untuk mempengaruhi pengundi menjelang pilihan raya negeri di enam negeri pada 12 Ogos.

“Adalah dipercayai ada pihak yang memilih memetik titah Sultan Nazrin Shah pada tahun 2013 untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong PAS dalam suasana menjelang Pilihan Raya di enam buah negeri pada 12 Ogos 2023,” kata Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri(Dr) Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin dalam satu kenyataan.

“Demi melindungi nama baik DYMM Paduka Seri Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak telah membuat laporan polis pada 29 Julai 2023.”

Zahidi juga turut menjelaskan bahawa klip video yang ditularkan itu adalah sebahagian kecil daripada titah Raja Nazrin di Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bertema ‘Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti Dan Cabaran’ di mana baginda menzahirkan analisis melibatkan dua buah parti terbesar Melayu, iaitu UMNO dan PAS, yang merupakan dua kuasa politik Melayu yang dominan ketika itu.

“Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap PAS (pada tahun 2013) tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.

“Titah baginda mengandungi 7,500 patah perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan.

“Bahagian yang memuji PAS hanyalah petikan pendek begitu juga pujian terhadap UMNO.

“Untuk itu tidak timbul bahawa baginda hanya memandang tinggi mengenai parti PAS.

“Malah kandungan titah tersebut sarat menghuraikan sejarah kedua-dua parti Melayu tersebut dan demi kebaikan bangsa dan negara, pentingnya untuk ummah mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik yang berbeza.”