Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Peguam Negara telah menafikan dakwaan bahawa ia melakukan pendakwaan terpilih dengan motif politik dan penganiayaan dalam kes melibatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih, bermotif politik dan penganiayaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang,” kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan.

Jabatan tersebut turut menerangkan bahawa keputusan untuk mendakwa dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperolehi keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara.

Sanusi yang menjadi pengarah pilihan raya Perikatan Nasional yang juga Menteri Besar Kedah dan kepimpinan PN seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah menuduh kerajaan dan Jabatan Peguam Negara membuat pendakwaan terpilih yang bermotif politik dan penganiayaan dengan mendakwa Sanusi.

Sanusi telah didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menghina kewibawaan sultan Selangor dalam pelantikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Sanusi juga didakwa kali kedua di bawah akta sama kerana mempertikai kewibawaan Agong dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.