Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Besar Kedah merangkap pengarah pilihanraya Perikatan Nasional Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah didakwa atas tuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 Julai pukul 11 malam.

“Bukan koman-koman, Sultan (Kedah) setara tu (sehebat tu) hangpa bayang dan tengok menteri besaq (Kedah). Sultan (Kedah) hebat macam tu takkan pilih menteri besaq (Kedah) cokia macam Amir tu,” kata Sanusi semasa ceramah pada 11 Julai.

Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dihukum denda RM5,000 atau dihukum penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tidak bersalah Yang Arif,” kata Sanusi kepada Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin yang membenarkan ikat jamin RM5000. Nor Rajiah turut mengarahkan Sanusi untuk tidak bercakap mengenai perkara ini sehingga kes selesai.

Sanusi diwakili peguam Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud manakala pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Sanusi berdepan satu lagi tuduhan di mahkamah sama di depan Hakim Osman Affendi Mohd Salleh.

Pertuduhan kedua ialah berkaitan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Ia kerana mempertikai penubuhan kerajaan perpaduan yang kononnya tidak dititahkan Seri Paduka Baginda.

Sanusi juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan ini.

Terdahulu beliau ditahan oleh polis pada pukul 3 pagi di sebuah hotel di Kuala Lumpur.