Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bahawa Umno akan bertanding 12 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor di dalam pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos.

“Selangor ini kita (Umno) dah kalah sejak 2008. (PRU) 2008, 2013 kalah. Walau Malaysia (peringkat pusat, kita) menang, Selangor kita kalah,” katanya semasa menjadi panelis Townhall Umno Bahagian Kota Raja, Klang, malam tadi.

“Kemudian ini kita nak PRN. Kalau kita tidak mahu memberikan undi kepada rakan kita, parti-parti dalam kerajaan perpaduan bertanding, di tempat-tempat Umno-BN tak bertanding, apa akan berlaku pada 12 kerusi yang kita memerlukan sokongan mereka?” soal Ahmad.

“Itu kita fikir lebih meluas untuk keseluruhan negeri Selangor,” katanya merujuk kepada rakan BN Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PRN kali ini adalah peluang untuk Umno kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor, selepas mereka kehilangan negeri itu pada 2008.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan (I) turut menyeru agar tidak takut terhadap DAP, rakan baru dalam Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana UMNO juga memerlukan DAP sepertimana parti itu memerlukan sokongan UMNO. Tambahan pula DAP mendapat sokongan padu masyarakat Cina.

“Kalau kita nak menang 12 kerusi, kita perlu sokongan masyarkat Cina kerana Melayu berpecah. Kita juga perlu sokongan masyarakat India

“Insya-Allah 12 kerusi itu kita boleh menang, dan Umno boleh jadi exco kerajaan negeri dan kali pertama sejak tidak jadi sebahagian kerajaan Selangor,” katanya.

Terdapat 56 DUN di Selangor dan UMNO memenangi empat dalam pilihanraya umum 14 pada tahun 2018 iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam dan Sungai Burong.