Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Hamzah Zainudin diberikan ingatan apa yang dia buat dahulu selaku Menteri Dalam Negeri ketika mengkritik tindakan polis menangkap Menteri Besar Kedah jam 3 pagi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika mengingatkan Hamzah berkata, hari ini, DS Hamzah persoal tindakan PDRM menahan Sanusi jam 3 pagi kerana didakwa hina Sultan.

“2 tahun lalu, waktu DS Hamzah sendiri Menteri Dalam Negeri, seorang pakcik berumur 61 tahun ditahan jam 3.57 pagi kerana didakwa hina Sanusi.

“Ada dia persoal tindakan waktu itu?” tanya Fahmi menerusi Facebook beliau.

Pada 9 Ogos 2021 lalu ketika Hamzah menjadi Menteri KDN, seorang lelaki warga emas ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung video yang didakwa sengaja mengaibkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor serta boleh membawa kepada perpecahan keamanan.

Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Lenggeng, Negeri Sembilan pada jam 3.57 pagi Isnin susulan laporan polis yang dibuat oleh Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Azizan Hamzah.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan semakan mendapati ada rekod jenayah lampau yang masih disiasat di bawah seksyen 506 kanun keseksaan.

Semalam, Ketua Pembangkang itu mempersoalkan tindakan polis menahan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada jam 3 pagi, atas alasan ahli politik kontroversi itu dan pegawainya tidak menjawab panggilan telefon sejak petang Isnin.