Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai parti-parti bernuansakan Melayu dan Islam serta parti pelbagai kaum merupakan gabungan kekuatan yang sepatutnya dilihat oleh orang Islam dapat membela agama yang dikatakan terancam sebelum ini.

Ekoran itu, isu Islam terancam telah berjaya dirungkai menyebabkan Pilihan Raya 6 negeri sudah mempunyai senario yang berbeza.

“Saya mengandaikan latar belakang sebelum PRU15 dan PRN akan datang, ada perbezaan yang besar. Apa yang berlaku pada PRN akan datang, keadaan sudah berubah.

“Kita tahu wujudnya Kerajaan Perpaduan yang meletakkan slogan Malaysia Madani sebagai dasar pentadbiran.

“Kerajaan Perpaduan telah mengubah banyak persepsi yang ditanam sebelum PRU15. Contohnya, Islam tidak terbela, Islam terancam.

“Tetapi apabila tertubuhnya kerajaan Perpaduan, inilah perpaduan Islam yang paling ketara dan paling besar dengan dianggotai parti-parti bernuansakan Islam,” kata Mujahid dalam forum yang yang dianjurkan oleh Media Perpaduan semalam.

Bagi Naib Presiden AMANAH ITU, PRU-15 lalu datang dalam keadaan yang tidak stabil atas sebab krisis politik yang berlaku, pandemik Covid-19 dan sebagainya.

“Jadi, latar itu telah membentuk satu peluang politik untuk (Perikatan Nasional) mengambil kesempatan dengan menajamkan lagi isu perkauman dan agama.

“Pengundi menjadi rapuh ketika itu tetapi selesai PRU-15, kita dapati dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan, nampaknya sudah berbeza latar belakangnya itu,” ujarnya.

Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian dalam forum Media Perpaduan bertajuk, “Pertarungan Pertahan Maruah” malam tadi dimoderatorkan Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.

Turut menjadi panel dalam bual bicara itu ialah Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman dan Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.