Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR 23 April – Dua inisiatif segera diumumkan Kementerian Pendidikan bagi memastikan murid terjejas bencana terus mendapat akses pendidikan tanpa halangan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata antara langkah utama adalah bantuan kewangan sebanyak RM300 kepada setiap kanak-kanak warganegara Malaysia yang terkesan insiden kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan telah dikreditkan terus ke akaun sekolah sebagai persediaan awal memulakan sesi persekolahan.

“Semalam, kita telah mengumumkan dua inisiatif penting. Pertama, bantuan RM300 kepada semua kanak-kanak warganegara Malaysia yang terjejas sebagai bantuan awal untuk memulakan persekolahan.

“Kedua, mereka digalakkan hadir ke sekolah walaupun tanpa pakaian seragam, bagi memastikan tiada halangan untuk bersekolah. Setakat ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memastikan mereka terus hadir ke sekolah tanpa sebarang masala”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Selain itu, kementerian turut memberi kelonggaran kepada murid untuk hadir ke sekolah walaupun tanpa pakaian seragam, bagi memastikan tiada alasan untuk tercicir daripada pendidikan.

Kementerian melalui Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri juga memantau kehadiran pelajar serta memastikan mereka terus bersekolah seperti biasa.

Dalam pada itu, kementerian turut meneliti keperluan pengangkutan khususnya bagi pelajar yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang jauh dari sekolah.

Bantuan bernilai RM300 tersebut diberikan kepada 454 murid warganegara Malaysia daripada 12 sekolah yang terjejas, melalui KPM selaras dengan komitmen kerajaan menjamin kesinambungan pendidikan dalam apa jua situasi.

Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.-Berita RTM