KUALA LUMPUR, 23 April – Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) sejak 15 April berjaya menjimatkan 600,000 liter bahan api bernilai RM1.2 juta.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, bukan sahaja membantu mengurangkan beban penjawat awam, malah penjimatan tersebut amat membantu ekonomi negara lebih-lebih lagi ketika Krisis Bekalan Global sedang melanda.
“Pada hari ini sahaja, seramai 21,828 penjawat awam yang terlibat. Kita dah jimat 600,000 liter bahan api benilai 1.2 juta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Institut Integriti Malaysia (IIM), di ibu negara, hari ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan keperluan merakam waktu masuk pada setiap jam melalui aplikasi ‘SpotMe’ tidak seharusnya menjadi isu besar kepada penjawat awam yang menggunakan manfaat tersebut.
“Kehadiran hanya perlu dirakam melalui telefon pintar sahaja. Jangan terlalu menekankan isu itu sehingga menimbulkan kegelisahan,” katanya.
Terdahulu, penjawat awam di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer, dibenarkan untuk bekerja dari rumah tiga hari seminggu.
Dalam pada itu, Tan Sri Shamsul Azri turut menggalakkan langkah penjimatan dan perbelanjaan secara berhemat seperti yang dilaksanakan oleh IIM.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Noridah dan pengurusan IIM kerana berjaya melaksanakan majlis ini di fasiliti kerajaan.
“Mengambil kira keadaan geopolitik dan juga ketidaktentuan ekonomi global akibat daripada Iran dan juga Israel. Kita amat menggalakkan program-program rasmi kerajaan diadakan di fasiliti awam,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.-Berita RTM
