KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus komited memperkukuh daya saing industri pengilangan minyak sawit melalui penerapan teknologi, amalan kelestarian dan pembangunan modal insan bersepadu selaras dengan keperluan industri yang semakin dinamik.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata komitmen itu dizahirkan menerusi penganjuran International Palm Oil Millers Conference 2026 (IPOMC 2026) anjuran The Incorporated Society of Planters (ISP) yang berlangsung hari ini sehingga Sabtu.
Katanya, persisangan ini menghimpunkan kira-kira 300 delegasi industri dan menjadi platform penting dalam membincangkan hala tuju masa depan sektor pengilangan minyak sawit.
“Kecemerlangan industri memerlukan pendekatan seimbang yang menggabungkan teknologi, amalan lestari dan pembangunan bakat sebagai asas kepada industri yang kukuh dan berdaya saing.
“Penggunaan teknologi seperti pendigitalan, automasi, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan kecekapan operasi, mempertingkat kawalan kualiti, mengurangkan gangguan operasi serta membolehkan penyelenggaraan yang lebih proaktif melalui penggunaan data,” katanya dalam kenyataan.
Noraini berkata, aspek inovasi dan penyelidikan turut diberi penekanan bagi meneroka pendekatan baharu termasuk pembangunan produk yang lebih mampan dan memenuhi keperluan pasaran yang semakin berubah.
“Sejajar dengan itu, kelestarian terus menjadi keutamaan melalui pengurusan sumber yang bertanggungjawab, peningkatan kecekapan tenaga serta pengurangan sisa.
“Pematuhan kepada piawaian seperti Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) serta pengurusan isu keselamatan makanan termasuk 3-MCPD dan glycidyl esters adalah penting bagi memastikan reputasi industri terus terpelihara serta akses pasaran antarabangsa kekal terjamin,” katanya.
Selain itu, Noraini berkata pembangunan modal insan akan terus diperkasa melalui pelaburan dalam pendidikan, latihan berterusan serta pembangunan kepimpinan bagi memastikan tenaga kerja industri kekal berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan.
“Kerjasama erat antara pemain industri, agensi kerajaan dan institusi akademik turut menjadi elemen penting dalam membangunkan ekosistem industri yang lebih mampan, inovatif dan berdaya tahan.
“KPK yakin melalui pendekatan bersepadu yang menekankan penggunaan teknologi, pengukuhan amalan kelestarian dan pembangunan bakat, industri pengilangan minyak sawit negara akan terus kekal berdaya saing serta relevan di peringkat global,” katanya.-BH Online
