KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang menggubal satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu, antaranya bertujuan mengukuhkan urustadbir dan memperkasa integriti gerakan koperasi di negara ini.
Menterinya, Steven Sim, berkata RUU berkenaan yang masih di peringkat penelitian lanjut Jabatan Peguam Negara (AGC), disasarkan untuk dibentangkan pada tahun ini.
Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) di Menara Bank Rakyat di sini, hari ini berkata bagi memperkukuh integriti dalam kalangan pentadbir atasan koperasi, lembaga pengarah dicadang menghadiri kursus misalnya berkaitan pemantapan tatakelola serta nilai integriti.
“Dalam mesyuarat, saya telah bangkitkan bahawa kita dalam proses untuk melihat, menyemak semula akta-akta berkaitan dengan koperasi, termasuk menggubal undang-undang baharu.
“Tujuannya adalah untuk melihat kepada (urusan) pentadbiran, urustadbir lebih baik, lebih dinamik dan lebih cekap untuk gerakan koperasi Malaysia.
“Tadi (dalam mesyuarat) saya juga berikan satu cadangan di mana mungkin pemimpin gerakan koperasi kalau di peringkat korporat (membabitkan) lembaga pengarah. Jadi mereka kena pergi kursus.
“Saya juga telah bangkitkan susulan daripada beberapa pandangan yang telah diberikan tadi. Mungkin pertimbangan kursus-kursus tertentu dari segi (pemantapan) urustadbir, ketelusan dan integriti kepada pemimpin gerakan koperasi,” katanya.
Kenyataannya itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan pemberita berhubung usaha KUSKOP bagi membendung isu terkait integriti seperti rasuah, ketirisan dan penyelewengan dalam urustadbir koperasi.
Memetik laporan media pada September tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 356 kertas siasatan membabitkan koperasi dengan 76 tangkapan dalam tempoh lima tahun.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebanyak 42 pertuduhan dilakukan dengan tujuh sabitan sejak 2020.
Dengan statistik itu, beliau berkata angka itu memberi isyarat bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dalam memerangi salah guna kuasa dan ketirisan dalam sektor terbabit.-BH Online
