Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Persediaan atlet di peringkat negeri dilaporkan terus berjalan seperti biasa walaupun timbul kemungkinan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 ditangguhkan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, beliau ada menghubungi exco sukan di setiap negeri dan mendapati semua persiapan atlet kekal diteruskan.

Katanya, maklum balas yang diterima menunjukkan komitmen berterusan daripada semua negeri sementara menunggu keputusan muktamad yang akan diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026, 30 April ini.

“Saya sudah mendapatkan maklum balas daripada exco negeri yang saya hubungi. Setakat ini, persediaan atlet di peringkat negeri masih berjalan seperti biasa.

“Semua pihak sedang menunggu keputusan bersama yang akan dicapai pada mesyuarat 30 April ini. 

“Kami mahu pastikan keputusan dibuat adalah yang terbaik untuk atlet dan juga negara,” kata Taufiq kepada media selepas Majlis Peluncuran Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026, hari ini. 

Semalam, BH Sukan melaporkan status penganjuran SUKMA Selangor 2026 dijangka diketahui pada 30 April ini apabila mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 diadakan.

Taufiq dilaporkan berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung status penganjuran temasya itu, sebaliknya semua perkara termasuk aspek dana akan diputuskan secara kolektif bersama pemegang taruh.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan temasya yang dijadualkan dari 15 hingga 24 Ogos depan ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Sultan Sharafuddin bertitah, ini berikutan penganjuran temasya itu memerlukan peruntukan yang sangat tinggi.-BH Online