KUALA LUMPUR, 4 Mei – Klinik Kesihatan Menjalara bernilai RM85.9 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2032 sekali gus memberi manfaat di kawasan sekitar untuk menikmati akses perkhidmatan kesihatan lebih menyeluruh.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, projek bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 250,000 penduduk termasuk di Parlimen Segambut, Batu dan Damansara.
“Saya harus tegaskan bahawa pembinaan Klinik Kesihatan baharu di Manjaralah ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperkukuh lagi penjagaan kesihatan primer (primary health care), yang menjadi asas dan dasar kepada penjagaan kesihatan pencegahan (preventive care),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas melawat tapak pembinaan Klinik Kesihatan Menjalara di ibu negara.
Selain itu fasiliti di atas tapak seluas 2.04 ekar yang akan dilengkapi pelbagai perkhidmatan termasuk pesakit luar, ibu dan anak, pergigian serta kecemasan mampu menampung keperluan sekitar 110,000 penduduk di kawasan Menjalara.
Pembinaan klinik baharu itu juga dijangka mengurangkan kesesakan di beberapa fasiliti sedia ada seperti Klinik Kesihatan Jinjang, Klinik Kesihatan Batu Muda, Klinik Komuniti Metro Prima dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Taman Koperasi Polis sekali gus membolehkan rawatan disediakan secara lebih holistik di bawah satu bumbung.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata pembinaan klinik tersebut sememangnya amat dinantikan oleh penduduk setempat selepas lebih lapan tahun permintaan dikemukakan.
Ketika ini kemudahan kesihatan di Parlimen Segambut didapati tidak mencukupi, malah klinik sedia ada terpaksa ditambah baik secara sementara dengan penggunaan kabin bagi menampung keperluan semasa.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Kesihatan atas peruntukan tambahan bagi pembelian peralatan yang diperlukan oleh doktor dan jururawat, dalam usaha menampung keperluan penduduk di Segambut,” katanya.
Projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya itu dijangka memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, selain meningkatkan kecekapan penyampaian rawatan kepada komuniti setempat.-Berita RTM
