SHAH ALAM, 4 Mei – Semua pihak diminta menghentikan sebarang tindakan atau cubaan yang melampaui batas khususnya melibatkan isu 3R (raja, agama dan kaum).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, sebarang bentuk penghinaan di media sosial tidak wajar dibiarkan, dan tindakan segera perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyebaran kandungan berunsur sedemikian.
“Kita harus mempertahankan atau melindungi sebarang bentuk penghinaan dan cercaan melampau, khususnya terhadap institusi tertinggi seperti raja dan ulama.
“Perkara seperti ini tidak wajar berlaku kerana ia merupakan lambang penyatuan. Oleh itu, ia mesti dielakkan. Pada masa sama, kita berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor di sini.
Terdahulu Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata sebanyak 280 laporan polis diterima setakat semalam, berhubung penularan satu karikatur di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin pada 25 April lepas.-Berita RTM
