KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada pasukan Alam Shah Wind Orchestra (ASWO) bagi membantu persediaan mereka menyertai pertandingan berprestij World Music Contest 2026 di Kerkrade, Belanda pada 30 Julai depan.
Beliau berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan kos persediaan serta perjalanan 46 pelajar Tingkatan Dua hingga Empat Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya yang bakal mewakili negara ke pentas antarabangsa.
“Keupayaan anak-anak ini untuk melangkah berani membawa bakat ke pentas dunia adalah cerminan kekuatan negara kita.
“Ia tidak hanya terukur pada angka dan pembangunan fizikal, tetapi juga pada keupayaan membina keyakinan, mendewasakan jiwa dan membentuk jati diri anak bangsa.
“Semoga ikhtiar ini terus menyemarakkan semangat mereka untuk mencipta kejayaan di sana,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sumbangan itu disampaikan ketika beliau singgah di Sekolah Sultan Alam Shah petang tadi bagi meninjau keadaan infrastruktur sekolah serta bertemu pasukan ASWO.
Perdana Menteri turut mendoakan agar pasukan itu berjaya dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.-BH Online
