KUALA LUMPUR: Biro Politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dijadual mengadakan mesyuarat bersama bagi membincang dan merundingkan beberapa perkara berkaitan hal politik pada jam 8 malam ini.
Sumber kedua-kedua parti yang dihubungi mengesahkan mesyuarat itu dijadual berlangsung di Kompleks Sri Perdana di Putrajaya.
Mesyuarat yang bakal dihadiri pimpinan utama PH dan UMNO itu, akan turut menyentuh kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan, terutama berkaitan tindakan menarik sokongan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Isu Negeri Sembilan dan beberapa perkara lain termasuk hal-hal Pilihan Raya Negeri (PRN) dibincang,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Ditanya kemungkinan cadangan menukar Menteri Besar Negeri Sembilan itu akan dibangkit dan diputuskan, beliau berkata, ia tertakluk kepada rumusan perbincangan dan rundingan semua pemimpin malam ini.
Beliau berkata, hal berkaitan pilihan raya terutama PRN di beberapa negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat, antara tumpuan perbincangan mesyuarat malam ini, selain hal berkaitan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Soal kerjasama, agihan kerusi bagi PRN, ini dijangka dibincang malam ini,” katanya turut mengesahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan bersama mesyuarat itu.
Ahmad Zahid dalam temubual sempena Ulangtahun ke-80 UMNO minggu lalu memaklumkan Biro Politik PH dan UMNO dijadual bertemu pada minggu ini.
Pagi ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan seluruh jentera parti bersiap siaga menghadapi kemungkinan PRN mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor susulan perkembangan politik semasa.
Katanya, keputusan untuk menggerakkan kesiapsiagaan jentera parti dibuat selepas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan gagal, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya PRN mengejut di beberapa negeri.-BH Online
