Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa UMNO akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Kedah sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ini kerana keserasian gabungan lebih penting berbanding calon Menteri Besar Kedah.

“Insya Allah, siapa pun jadi Menteri Besar sama ada BN atau PH, kami akan sokong. Siapa Anwar pilih, itu kami sokong.

“Ini soal lain tetapi yang penting adalah kebersamaan. Apa yang wujud sekarang adalah keserasian dalam kalangan kita,” katanya ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini malam tadi.

Beliau turut mengingatkan rakyat Kedah untuk mengundi pada 12 Ogos sebagai langkah menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Turut diingatkan bahawa Kedah tidak memerlukan badut politik untuk memimpin negeri tersebut.

“Kalau masalah di Kedah mahu diselesaikan seperti air, kecurian unsur nadir bumi (REE) isu kemajuan serta pembangunan, maka inilah yang kita aturkan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tak mahu pak lawak memerintah negeri ini, kita tak mahu badut politik jadi pemimpin,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan parti lawan agar berhenti melakukan fitnah, mengeji dan memaki hamun walaupun mereka berjaya memperolehi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum lepas dengan cara itu.

“Mereka katakan kemenangan itu kerana Allah takdirkan walaupun ‘sedekah’ diberikan. Tetapi kalau kami beri sikit-sikit untuk jentera, dia kata ini rasuah,” katanya sinis.

BACA JUGA: PH-BN perlu berada dalam mod menyerang lawan habis-habisan