Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru anak muda agar menggilap idealisme mereka dengan mempunyai minda yang kritis dan terbuka.

Seruan itu dibuat oleh PM Anwar ketika bertemu dengan para pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam majlis Temu Anwar kelmarin.

“Saya mengingatkan anak-anak muda untuk gilap idealisme serta punyai minda yang kritis dan terbuka dalam menyikapi pelbagai permasalahan dalam negara, selain mengelak diri dari mengacung naratif-naratif yang menajamkan faham perkauman.

“Saya menyarankan golongan muda untuk memangkin budaya politik yang baharu untuk Malaysia yang lebih madani dan berketrampilan,” kata Anwar di majlis tersebut.

Katanya, beliau sering menerima aduan daripada anak-anak mahasiswa terkait masalah internet di institut pengajian mereka.

“Saya telah minta Menteri Komunikasi dan Digital, saudara Fahmi untuk beri keutamaan supaya tahap kesalinghubungan di kampus bertambah baik,” kata Anwar.

Ekoran permintaan itu, Fahmi telah turun ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor kampus Dengkil semalam.

Anwar juga berkata, dalam pertemuan dengan pelajar UUM itu, juga dibangkitkan sewaktu sesi soal jawab adalah mengenai sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan yang perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, katanya, suatu pendekatan baharu bagi menjamin peluang pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang mendapat peluang ke bidang kritikal seperti perubatan perlu dilaksanakan bagi mengelak negara terus kehilangan bakat.