Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk, dijadualkan pada minggu ini akan meliputi kerjasama dalam pelbagai sektor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Saya rasa kena tunggu dulu (butiran perbincangan) kerana saya tidak mahu mendahului perbincangan yang akan diadakan di antara Perdana Menteri dan Elon Musk, namun ini adalah satu perkembangan yang positif kerana kita tahu Tesla sudah memberi komitmen dan akan ada pelancaran pada 20 Julai ini.

“Yang kita mahu supaya potensi pelaburan dan komitmen pelaburan yang lebih tinggi dalam sektor automotif dan juga sektor-sektor lain yang dapat kita pasarkan dalam Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pra-pelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023.

Tesla akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini, kira-kira empat bulan selepas mengumumkan untuk membuka sebuah ibu pejabat di negara ini.

Syarikat itu pada awal Mac lalu mengumumkan rancangan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Ini selepas MITI telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke Malaysia.