Sorting by

×
Communications and Digital Minister Fahmi Fadzil during an interview with the media regarding the progress of 5G being rolled out and its direction. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penjualan dadah sintetik melalui laman sesawang gelap serta aplikasi Telegram dan WhatsApp, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Katanya Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil maklum pendedahan oleh Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Suteko Ahmad Belon mengenai dadah berkenaan yang kini dijual pada harga serendah RM18 menerusi platform dalam talian.

Fahmi berkata tindakan itu akan diambil setelah menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapat maklumat terperinci, selain bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tapi pada masa sama, saya turut difahamkan ada laman sesawang lain, saya tidak akan sebut (laman sesawang) supaya tindakan yang tepat boleh diambil,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Selain itu, Fahmi berkata satu mesyuarat telah diadakan bersama AADK semalam bagi membincangkan langkah dan mekanisme penting dalam membanteras kegiatan berkenaan.

Terdahulu, pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023, Suteko berkata bekalan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu dan ekstasi yang dijual menerusi platform dalam talian itu dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian.