Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Langkah tambahan bagi membantu golongan yang masih tersisih daripada peluang pekerjaan susulan krisis bekalan global dijangka diumumkan minggu depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata isu berkaitan golongan tersisih daripada mendapat pekerjaan itu ada disentuh pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Ya. Kemungkinan (langkah tambahan akan diumum) pada minggu depan. Ada disentuh sedikit pada (mesyuarat Kabinet) hari ini.

“Tapi lebih kepada beberapa angka mengenai mengesan jumlah yang dimaksudkan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada langkah tambahan itu akan diumumkan pada sambutan Hari Pekerja, 1 Mei ini.

Fahmi berkata, perkara terbabit akan dibincangkan dengan lebih teliti pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) minggu depan. 

Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan langkah tambahan dalam masa terdekat, bagi membantu golongan yang masih tersisih daripada peluang pekerjaan susulan krisis bekalan global.

Katanya, ia termasuk golongan siswazah dan lulusan diploma yang masih buntu mencari pekerjaan bagi memastikan kemahiran mereka tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Saya akan umumkan langkah tambahan supaya kelompok yang tersisih daripada peluang pekerjaan termasuk siswazah menganggur ataupun yang lulusan diploma itu.

“Kita akan umumkan dalam masa singkat,” katanya seperti dilaporkan.-BH Online